Friday, January 21, 2011

Berbeza itu Serasi??


Hari ni masa tengah chatting kat opis terkeluar lak topik aku & en. mie sebenarnya banyak perbezaan. Antara contoh2nya:

Dia byk cakap tapi aku pendiam skit.
Dia kelakar tapi aku suka gelak jer.
Dia suka megi Cintan tapi aku suka megi Maggi.
Dia suka telur dadar tapi aku suka telur mata.
Dia suka aktiviti outdoor.. tapi aku suka indoor.
Dia suka ayam tapi aku suka ikan.
Dia suka action movie tapi aku suka romantic comedy.
Dia suka sinar fm tapi aku suka hitz fm.
Dia suka kicap tapi aku tak suka
Dia tak suka pakai selimut tapi aku tido mesti pakai selimut
Dia tak berapa suka pedas tapi aku suka pedas
Dia suka sport channel tapi aku suka Asian Food Channel tapi kami berdua kalah bila sofea mintak Disney channel.. sebab kami berdua sayangkan sofea... hehehehe..

Apa makna serasi di mata anda? Adakah keserasian itu adalah sesuatu yang tampak jelas di mata? Rasionalnya mentaliti kita akan menyatakan serasi itu adalah rangkaian persamaan antara pasangan. Tetapi melalui kajian, serasi dalam erti berpasangan adalah suatu perbezaan ketara yang menjelaskan tentang sifat kedua pasangan itu.

Saya terpaksa akur dengan keputusan kajian tersebut kerana ternyata kebanyakan dari fakta-faktanya adalah benar. Walaubagaimanapun ingin saya nyatakan di sini bahawa soal keserasian ini adalah begitu subjektif dan kompleks untuk diperbincangkan. Mari kita lihat antara fakta yang menarik mengenai perkara "serasi".

Saya ingin mengajak anda untuk mendalami tentang tafsiran makna serasi yang diterjemah dalam kamus dengan faktor kehidupan pasangan di sekeliling kita. Sebenarnya faktor keserasian antara pasangan itu adalah dari sifat mereka yang berbeza. Maknanya, dengan sifat keperibadian yang berbeza itulah menggambarkan tentang makna serasi antara pasangan.

Contohnya, jika seorang dari pasangan itu adalah seorang yang pemarah nescaya pasangannya adalah seorang yang penyabar dan pemaaf. Jika kedua-duanya adalah pemarah nescaya tidak wujud keserasian dalam hubungan mereka. Jika seorang dari pasangan itu pelawak tidak semestinya pasangannya juga adalah pelawak. Cuba anda bayangkan jika kedua-duanya adalah pelawak, nescaya tidak wujud lagi sikap serius dalam perhubungan mereka.

Oleh yang demikian saya berpandangan bahawa, kita haruslah bersyukur dengan pasangan yang kita miliki. Faktor dalam keserasian sebenarnya adalah sifat saling menyokong antara satu sama lain. Jadikan kekurangan yang ada pada pasangan kita sebagai suatu kekuatan pada diri kita. Dalam meneruskan sesebuah perhubungan yang serasi kita hendaklah saling mengisi ruang kekosongan yang ada supaya hubungan yang kita bina itu menjadi lebih utuh dan berkekalan.

Bagi golongan yang bergelar suami, bersyukurlah jika anda mendapat seorang isteri yang kuat berleter. Kerana begitu indah ciptaan yang Maha Esa itu menjadikan anda seorang yang sabar melayani kerenah isteri yang suka berleter. Anda mungkin akan merindui leteran isteri anda tatkala berjauhan. Tetapi menerima setiap baris leteran isteri bukanlah bermakna anda hanya perlu akur dengan setiap kata-katanya sebaliknya anda perlulah bersifat tegas dengan cara berdiam diri. Mungkin inilah yang dinamakan serasi dalam perhubungan.

Sekian.


0 comments: